::. Assalamualaikum Wrm Wbt.:::

Wednesday, September 07, 2005

Bagaimana Mencari Ketenangan Jiwa...


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman.

Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar.

Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :
“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.(Surah Yunus: 6)


Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.(Hadis riwayat Muslim )
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka.


Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.(Surah Al-Zumar: 23)


FirmanNya lagi yang tafsirnya :“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :
“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”.(Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Sunday, September 04, 2005

Bukti Kebesaran ALLAH SWT


Subhanallah...

Apa yang ingin saya paparkan di sini, ialah bukti penemuan hasil kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun.

Penemuan oleh Dr Masaru Emoto ini sungguh menakjubkan. Beliau membuktikan bahawa susunan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang diucapkan ke atas air tersebut.

Ustaz Abdullah Mahmud yang pernah berceramah di Surau Wisma Telekom Semarak, pada tahun lepas pernah menceritakan penemuan ini. Beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengikuti satu seminar yang disampaikan oleh seorang pakar air dari Jepun di Hotel Istana. Dalam seminar itu, mereka telah ditunjukkan melalui slaid, contoh-contoh air yang dilihat daripada mikroskop khas. Sumber air ini diambil daripada laut, sungai, empangan, perigi dan sebagainya. Ada pelbagai bentuk, daripada rupa cantik bercahaya seolah-olah seperti berlian hinggalah ke ‘hodoh dan mengerunkan” seperti rupa jin bertelinga besar, bertanduk dan sebagainya.

Suatu ketika, apabila ditunjukkan “rupa air yang cantik bercahaya,” molekulnya tersusun cantik, seperti berlian bersegi-segi, bersinar-sinar, berwarna-warni melebihi 12 warna, para hadirin telah disoal pakar air tersebut tentang asal usul sampel air itu. Salah seorang hadirin meneka, itu mungkin air Zam-Zam. Dan sememangnya telah disahkan benar oleh pakar air tersebut. Kemudian beberapa hadirin dipilih untuk membuat kajian. Di atas pentas, mereka dikehendaki membacakan sesuatu ke atas air mineral masing-masing. Lalu salah seorang hadirin dikehendaki menunjukkan hasil kajiannya. Apabila ditunjukkan di skrin kelihatan molekul air itu membentuk seolah-olah seperti tokong cina ( dengan janggut yang panjang dan perut buncit ).

Apabila tiba giliran Ustaz Abdullah, air tersebut dibacakan surah Al-Fatihah, Selawat dan ayat Kursi, maka apabila dipaparkan di skrin kelihatan molekulnya seperti berlian yang berkilau-kilau, cantik bercahaya. Kemudiannya beliau disuruh membaca sebarang ayat atau kata-kata yang tidak elok, maka ternampaklah di skrin molekul air itu berubah menjadi seperti sel-sel barah.

Banyak hadis dan ayat-ayat Quran, yang menceritakan fenomena ini. Air juga merupakan makhluk Allah yang bernyawa. Dengan keizinan daripada-Nya, ia mampu menyembuh dan memudaratkan seseorang, kerana dalam Islam ada kaedah-kaedah tertentu yang menggunakan air, untuk berikhtiar mengubati penyakit. Salah satu daripadanya mengunakan air penawar, atau dalam bahasa mudahnya air jampi. Seperti mana yang pernah diamalkan Rasulullah, dan diikuti oleh ulama-ulama Islam, para ustaz, para imam.

Oleh itu kita seharusnya menjadikan peristiwa ini sebagai salah satu pemangkin untuk melonjakkan iman kita diatas kebenaran yang hakiki yang ada pada ilmu allah…allahuakbar….

Sesiapa yang ingin melihat bentuk- bentuk molekul air yang telah digambarkan ...sila kunjungi laman web berikut... http://www.sengkarai.com/bentukair.htm

*syukran kepada kawan yang sudi menyumbangkan artikel ini untuk tatapan pengunjung blog...