::. Assalamualaikum Wrm Wbt.:::

Wednesday, December 14, 2005

Kewajipan Seorang Saudara Muslim

Dalam Risalah at-Ta'liim, As-Syahid Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiyah. Dengan kewajipan-kewajipan ini, Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap orang muslim terhadap dirinya, rumahtangganya, dan masyarakatnya.

Beliau mengatakan :"Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu kukuh bagi binaan kita".

1. Hendaklah saudara wiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzu’ setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.

2. Hendaklah saudara membaca al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sangup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah dan sejarah angkatan Salafus-Salih yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku ‘Hamatul-Islam’ sebagai permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu Hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul ‘aqidah dan sebuah kitab mengenai hokum-hakam fiqah.

3. Hendaklah saudara segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit hendak segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu, hendaklah saudara menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.

4. Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan kecuali pada ketika yang sangat perlu, dan janganlah sesekali saudara menghidap rokok.

5. Hendaklah saudara mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumahtangga, pakaian, maka-minum, tubuh-badan, dan tempat kerja kerana agama ini dibina atas dasar kebersihan.

6. Hendaklah saudara bercakap benar dan jangan sesekali berdusta.

7. Hendaklah saudara menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sesekali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan yang paling sulit pun.

8. Hendaklah saudara bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian ialah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.

9. Hendaklah saudara bersikap serius engan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.

10. Hendaklah saudara bersifat pemalu, halus perasaan dan peka kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu yang baik dan menunjukkan kedukacitaan kepada sesuatu yang buruk. Hendaklah saudara bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina. Jika meminta sesuatu, hendaklah saudara memintanya kurang dari martabat saudara kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.

11. Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah pula saudara memejamkan mata terhadap kejahatan kerana sayang. Hendaklah saudara sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan dirimu walaupun ucapan itu pahit.

12. Hendaklah saudara benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini, hendaklah menziarahi orang sakit, membantu orang yang memerlukan, meringankan orang yang menanggung bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya, bersegeralah melakukan kebajikan.

(Sumber : Apa Ertinya Saya Mengganut Islam, Fathi Yakan)